Friday, December 3, 2010

Marathon HAdith

  salam bloggers.. ni marathon hadith sebab da lame sy xdpt kongsi hadith kat cni ek..
silekan bace...btw,alhamdulillah i'm home after had a great travel in turkey for 10 days..
Gambaran Kehidupan Orang Yang Beriman.
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah “cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit”.
Ini kerana makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya. Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia.
Minuman Yang Memabukkan.

Dari Abu Musa r.a ia berkata: “Ya Rasulullah, saya tinggal di suatu daerah di mana orang membuat sebangsa minuman keras dari madu dan dinamakan mereka al-Bit’u dan sebangsa minuman keras lagi dari gandum dan mereka namakan al-Mizru”. Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap minuman yang memabukkan adalah haram (terlarang)!”. (Bukhari)
Seorang muslim wajib mengikat setiap perbuatannya dengan hukum syara’ sebagai membuktikan kepatuhannya terhadap agama. Pengharaman meminum arak adalah kerana kesannya yang memabukkan. Oleh kerana itu apa saja yang mempunyai potensi yang memabukkan maka ia adalah haram.
Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bolah bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur, dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir hayatnya, ia akan mati di dalam kekufuran. Sebagaimana inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, khalifah Uthman mengingatkan agar berhati-hati terhadap arak kerana ia adalah punca segala perbuatan keji dan mungkar.
Apabila seseorang itu mabuk dia akan sanggup berzina dan membunuh seperti kisah seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah di masjid. Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Disebabkan sudah jatuh hati, lelaki itu menurut sahaja ketika disuruh oleh wanita itu memilih antara tiga perkara maksiat. Pertama minum arak, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi.
Mengingatkan bahawa meminum arak dosanya lebih kecil dan tidak melibatkan orang lain selain dirinya berbanding dengan dua pilihan lain yang diajukan, lelaki soleh itu terus memilih arak. Tetapi apa yang berlaku, dengan meminum arak yang memabukkan itu, dia ternyata telah melakukan dua kejahatan yang lain, iaitu berzina dan membunuh bayi di sisinya.
Pahala Ke Masjid.

Dari Ubai bin Kaab r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya: “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik”. Dia menjawab: “Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku”. Sabda Rasulullah SAW : “Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu”. (Muslim)
Begitu indah ‘panggilan Allah’ sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana.
Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.
Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah.
Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara sendirian ataupun bersama keluarga.

Lebih Baik Daripada Pembantu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi s.a.w : “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur”. (Muslim)
Menurut ajaran Islam, seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Tujuannya supaya isteri itu dapat sepenuhnya mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Rasulullah bersabda, “Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya”. (Bukhari & Muslim)
Namun begitu dewasa ini tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga. Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu dan juga seorang pekerja kepada majikan tidak dinafikan mengundang rasa penat yang tidak tertanggung secara sendirian. Oleh itu ramai antara para isteri yang bekerja menginginkan adanya seorang pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumahtangga.
Namun begitu masalah ini sebenarnya tidak hanya boleh diselesaikan dengan adanya pembantu rumah semata-mata kerana seorang suami yang memahami keadaan isterinya sudah tentu tidak akan berat tulang memberikan kerjasama, menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah rumahtangga daripada berlaku pergaduhan dan sebagainya, malah dapat menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri kerana masing-masing dapat menerima dan mengorbankan kepentingan diri.
Di samping itu si isteri juga dianjurkan mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dalam hadis di atas kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya jiwa akan terasa tenang, hilang keserabutan dan keletihan.

Jangan Berhenti Berdoa.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan”. Lalu Baginda ditanya oleh seseorang : “Apa maksudnya meminta dicepatkan?” Jawab baginda : “Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya : “Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa”. (Riwayat Muslim)
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan hasilnya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik.
Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah : “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku; (Surah Maryam : Ayat 4). Sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

No comments: