Saturday, December 11, 2010

JOM BACE HADITH

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi saw bersabda yang maksudnya : “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu”. (Bukhari)
Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyak nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari. Oleh itu jangan kita merasa kesal atau kecewa dengan ciptaan atau pemberian Allah sama ada kita mengalami kecacatan, kekurangan dan sebagainya.
Hal ini kerana jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan. Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya.
Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya. Oleh itu dalam apa juga perkara kita hendaklah bersifat qana’ah dan sentiasa bersyukur di samping berusaha dan bersabar kerana Allah berfirman yang maksudnya: “Boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah : Ayat 216)




Allah Maha Sempurna.
Dari Mughirah r.a katanya, Saad bin Ubadah mengatakan : “Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya”. Ucapan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata : “Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga”. (al-Bukhari)
Setiap apa yang menimpa diri kita ataupun orang lain daripada perkara-perkara berupa kesulitan dan sebagainya, semuanya berpunca daripada sikap kita yang meremehkan perintah Allah SWT, tidak menganggapnya penting dan tidak pempedulikan hak-hak Allah yang seharusnya dipenuhi oleh hamba-Nya. Oleh itu selaku manusia kita hendaklah memilki sifat al-Khouf (takut kepada Allah) dan ar-Roja’ (bergantung harap kepada Allah) kerana dengan memiliki kedua perasaan tadi manusia akan berfikir bahawa boleh jadi Allah akan menyiksanya atau merahmatinya.
Hal ini akan menggerakkan manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin manakala dengan sifat al-Khouf pula akan mengekang manusia daripada melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan manusia itu amat dhaif tanpa adanya pemberian ataupun nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Dengan itu manusia handaklah bersifat sebagai hamba yang sentiasa cemburu untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah bukan bersaing mahu menempah kemurkaan Allah SWT.

No comments: